(Dr. Normarini di temu bual selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri)
KUALA LUMPUR, 8 Februari- Penerapan nilai etika dan adab secara konsisten perlu untuk mewujudkan integrasi nasional dalam usaha membentuk masyarakat madani.
Pada masa sama dapat membendung perbuatan memuat naik kandungan menyentuh sentimen perkauman di media sosial yang boleh menggugat kesejahteraan negara.
Ke arah itu, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Normarini Norzan berkata pembentukan modal insan melalui pendidikan penting bagi melahirkan generasi yang bersatu padu dan saling menghormati.
Beliau berharap pengukuhan modal insan dapat diberi tumpuan dalam merealisasikan gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
"Sebenarnya Malaysia masih dalam proses didikan dan macam mana hendak bagi mereka patuh dalam nilai etika dan adab. Namun pendidikan yang kita laksanakan hanya dalam korikulum.
"Jadi bagi saya jika ada satu penguatkuasaan untuk pendidikan keihsanan ini untuk sertiap kaum itu dia mesti faham bagaimana hendak menghormati kaum lain. Setiap kaum itu sentiasa menjaga perasaan," kata Normarini di temu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini.
(Pendidikan keihsanan penting dalam pembentukan masyarakat madani)