
HULU LANGAT, 8 Februari – Malaysia perlu memperkukuh pendekatan pencegahan dalam sistem kesihatan bagi menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membebankan negara dari segi kos dan kesejahteraan rakyat.
- Perubahan dari rawatan kepada pencegahan perlu jadi teras sistem kesihatan negara.
- Wellness Hub dan penjagaan kesihatan primer menumpu pengurusan faktor risiko NCD.
- Inisiatif bergerak seperti Wellness on Wheels bawa perkhidmatan pencegahan ke kawasan terpinggir.
- Perlu tingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran komuniti untuk kurangkan NCD.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perbelanjaan mengurus NCD yang dianggarkan mencecah RM64.3 bilion setahun menunjukkan kebergantungan kepada pendekatan rawatan penyakit semata-mata tidak lagi mampan.
Menurut beliau, sistem kesihatan negara perlu beralih kepada model berteraskan kesejahteraan dan penjagaan kesihatan primer bagi memastikan rakyat kekal sihat sebelum jatuh sakit.
“Kalau kita hanya bertumpu kepada rawatan penyakit atau sick care, sistem kesihatan akan sentiasa berada dalam krisis. Sebab itu pencegahan, promosi kesihatan dan pendekatan kesejahteraan perlu dijadikan tunggak utama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra, hari ini.
Dr Dzulkefly menjelaskan, penubuhan Wellness Hub Hulu Langat sebagai fasiliti ke-38 di negara ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh penjagaan kesihatan primer yang menumpukan pengurusan faktor risiko seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan tahap kecergasan fizikal.
“Wellness Hub ini adalah sebahagian daripada penjagaan kesihatan primer yang menekankan pendekatan kesejahteraan, bagi memastikan rakyat terus sihat sebelum memerlukan rawatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, lima lagi Wellness Hub baharu akan dilancarkan tahun ini di Kuala Selangor, Muar, Sibuti, Muallim dan Sandakan, bagi memperluas akses perkhidmatan kesejahteraan kepada komuniti termasuk di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata pendekatan kesejahteraan turut dilengkapkan dengan inisiatif Wellness on Wheels bagi memastikan perkhidmatan kesihatan pencegahan dapat disampaikan ke kawasan yang mempunyai akses terhad.
“Kalau akses tidak sampai, kita bawa perkhidmatan itu kepada komuniti. Itu sebabnya pendekatan bergerak seperti Wellness on Wheels sangat penting,” katanya.
Mengulas cabaran penyakit kronik, beliau berkata peningkatan berat badan dan obesiti merupakan antara faktor risiko utama yang menyumbang kepada diabetes dan penyakit kardiovaskular, sekali gus memerlukan intervensi awal di peringkat komuniti.
“Apabila berat badan berlebihan, sistem hormon terutama insulin akan terganggu. Dengan mengurangkan berat badan, kita boleh menurunkan risiko diabetes dan penyakit jantung,” jelasnya.
Di peringkat nasional, Dr Dzulkefly memaklumkan lebih dua juta rakyat telah menerima pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan menerusi rangkaian Wellness Hub yang dilaksanakan secara bersasar dan berasaskan keperluan individu.
Sementara itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap trend peningkatan kes diabetes di Hulu Langat, apabila 2,847 kes baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun, dengan peningkatan kumulatif sekitar 10.2 peratus.
Menurut beliau, trend tersebut mengukuhkan keperluan untuk memperkasakan literasi kesihatan serta kesedaran masyarakat terhadap faktor risiko penyakit NCD.
Dalam kerangka Malaysia MADANI, katanya, kesihatan bukan lagi isu sektor semata-mata, sebaliknya prasyarat kepada kemakmuran negara.