KUALA LUMPUR, 15 Disember - Kerajaan bakal memperkenalkan pendekatan baharu pengurusan air negara dengan menaik taraf fungsi kolam takungan sebagai sumber simpanan air yang boleh diproses untuk pelbagai kegunaan termasuk bekalan minuman.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan baharu itu dijangka memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani perubahan iklim, di samping mengoptimumkan sumber air hujan sebagai aset strategik negara.
"Langkah ini bertujuan menakung dan menyimpan air hujan, khususnya ketika hujan lebat, supaya air tersebut tidak terus mengalir ke laut. Air yang dikumpul boleh diproses semula untuk kegunaan industri, pertanian dan juga sebagai sumber minuman.
"Pada masa sama, pendekatan baharu ini menetapkan supaya setiap rumah dilengkapi dengan takungan air hujan agar air berkenaan dapat digunakan bagi tujuan bukan minuman, termasuk melalui penggunaan tangki simpanan yang disediakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussain Ismail berkenaan perancangan kerajaan pada skala besar untuk menjadikan pengumpulan air hujan sebagai satu sumber yang positif, khususnya dalam mengurangkan risiko banjir, serta dimanfaatkan semula bagi tujuan pertanian, industri dan bekalan air minuman, seperti yang dilaksanakan di beberapa negara lain.
Datuk Seri Fadillah berkata pendekatan itu dilaksanakan seiring dengan keperluan penyediaan takungan air hujan di kawasan perumahan, bagi kegunaan bukan minuman seperti pembersihan dan penyiraman.
"Semua perkara yang dibangunkan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah diambil perhatian dan, insya-Allah, pandangan tersebut sememangnya selari dengan perancangan kerajaan serta akan dilaksanakan," katanya.