fb fb fb fb fb

Pencarum PERKESO layak dapat faedah walaupun caruman belum mula

KUALA LUMPUR, 10 September- Pencarum PERKESO yang tertakluk di bawah penguatkuasaan siling gaji baharu layak menikmati faedah ditawarkan, meskipun caruman mereka belum bermula.

Menurut Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, ini bagi memastikan pencarum dan waris menerima gantian pendapatan, faedah serta kebajikan lebih baik.


(Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed)

"Walaupun kuatkuasa 1 September caruman akan dibayar Oktober. Tapi kalau berlaku kematian pada 1 September ini, faedah yang akan diterima adalah berdasarkan faedah yang baru. Walaupun caruman belum dibayar. Begitu juga seorang pekerja, ditawarkan bekerja pada 1 September, tetapi dia akan dibayar carumannya pada Oktober. Dengan surat tawaran dia nak pergi bekerja dia eksiden, meninggal. Dia layak semua faedah bawah PERKESO" katanya pada sidang media di sini, semalam.

Jelasnya penguatkuasaan siling gaji baharu tidak akan membebankan majikan memandangkan peningkatannya tidak ketara.

Bagi majikan yang berdepan kekangan diminta tampil berbincang dengan PERKESO bagi mencari penyelesaian terbaik.

Siling gaji baharu yang dikuatkuasakan bermula 1 September lalu, dijangka memanfaatkan 1.5 juta pekerja atau hampir 19 peratus daripada keseluruhan pencarum PERKESO seluruh negara.

Langkah itu akan menambah baik liputan keselamatan sosial Perkeso menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3 peratus.

Media Baharu