fb fb fb fb fb

Pencarian semula MH370, Malaysia tidak boleh bertindak secara sebelah pihak

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Malaysia tidak boleh bertindak secara unilateral atau sebelah pihak dalam usaha pencarian pesawat hilang MH370, meskipun terdapat petunjuk baharu mengenai lokasi pesawat itu, merujuk dokumen kajian Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata sebarang misi pencarian pesawat itu perlu dibincangkan bersama kerajaan China dan Australia.

Perkara itu perlu selaras perjanjian dan persefahaman yang dibuat tiga negara termasuk Malaysia dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

"Bukti yang boleh dipercayai mesti diperolehi. Seperti mana yang kita gunakan, sekiranya terdapat 'credible evident', bukti yang kukuh, maka kita tidak ada keberatan untuk teruskan, katanya dalam sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam sidang media Minggu Maritim Malaysia (MMW) 2022) 

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menerusi kenyataan rasmi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan ATSB yang mendakwa terdapat petunjuk baharu dalam mengenal pasti lokasi MH370 yang hilang.

Kenyataan ATSB itu menyebut pihaknya telah meminta pihak ketiga untuk menyemak data yang diperoleh daripada carian untuk mengesahkan semula bahawa tiada item yang menarik dikesan dalam carian sebelumnya berdasarkan dokumen Godfrey, ‘MH370 Flight Path’.

Penemuan semakan itu dijangka dikeluarkan dalam beberapa minggu lagi dan menyatakan bahawa sebarang keputusan untuk menjalankan pencarian lanjut pesawat MH370 akan menjadi urusan kerajaan Malaysia.

Media Baharu