RAUB, 22 Februari- Seorang pemandu lori yang membawa muatan surat khabar nyaris maut apabila kenderaan dipandu terperangkap bersama jambatan yang runtuh di Tranum berhampiran Tokong Cina Tras di Raub, hari ini.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi itu menyaksikan lori dipandu lelaki berkenaan terperangkap ketika melalui jambatan berkenaan.
Tambah beliau, pemandu berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
Susulan itu, jalan berkenaan ditutup bagi kedua-dua arah bagi semua jenis kenderaan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku susulan hujan lebat dari pukul 11.30 malam hingga pukul 3 pagi tadi.