JOHOR BAHRU, 7 Mei- Banyak kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) mula beroperasi sepanjang waktu puncak sekali gus mengatasi kesesakan di situ.
Hanya ada beberapa kaunter sahaja yang masih ditutup atas pelbagai faktor namun tidak menjejaskan trafik semasa waktu puncak.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setakat ini, maklum balas positif diterima pihaknya selepas beberapa penambahbaikan segera sudah dilaksanakan.
"Kebanyakan kaunter kini lancar terutama pada waktu puncak. Mungkin ada kekangan sedikit tetapi majoritinya sudah mula buka secara konsisten semasa waktu puncak," katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa perasmian program Gotong Royong Johor Bersih Perdana anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada hari ini di Legaran Segget, di sini.
(Foto fail)
Baru-baru ini, beliau mengadakan lawatan mengejut ke BSI susulan kesesakan yang kerap berlaku di situ.
Onn hafiz juga memaklumkan, beberapa fasiliti akan ditambah baik bagi mengurangkan kesesakan trafik.