KOTA KINABALU, 12 November - Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak hasil bersih 40 peratus kepada Sabah sebagai satu langkah besar yang mampu memperkasa pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 serta memperkukuh kestabilan politik negeri.
Menurutnya, keputusan itu bukan dibuat secara kebetulan atau akibat tekanan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, sebaliknya hasil daripada kesedaran terhadap kebangkitan rakyat Sabah yang sekian lama menuntut hak termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sejak pembentukan negara lebih setengah abad lalu.
“Keputusan besar Kerajaan Pusat ini bukanlah berlaku secara kebetulan mahupun paksaan. Ia lahir daripada kesedaran terhadap tuntutan ikhlas rakyat Sabah yang mahu hak mereka dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aksyah berkata, kejayaan pengembalian hak itu tidak dapat dipisahkan daripada kebijaksanaan gerak kerja dan ketajaman diplomasi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang konsisten memperjuangkan kepentingan negeri melalui pendekatan berhemah serta berstrategi.
“Sesungguhnya kebijaksanaan dan ketajaman diplomasi Hajiji sejak menerajui kepimpinan Sabah menjadi faktor utama mengapa isu hak 40 peratus ini mendapat perhatian Kerajaan Pusat,” jelasnya.
Beliau menegaskan, meskipun Ketua Menteri tidak pernah menjanjikan perkara itu secara terbuka, namun usaha berterusan dan langkah tersusun yang digerakkan oleh beliau bersama kerajaan GRS–PH Plus akhirnya membuahkan hasil yang sekian lama dinanti-nantikan rakyat Sabah.
Aksyah menambah, hasil pengembalian 40 peratus itu akan memberi nafas baharu kepada pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan negeri di bawah Halatuju SMJ 2.0, khususnya dalam memperkukuh ekonomi, kebajikan rakyat dan kesejahteraan luar bandar.
“Dengan hasil 40 peratus dikembalikan, maka akan menjadi lebih mudah untuk kita mencapai segala agenda yang telah dirancang di dalam Halatuju SMJ 2.0 kelak,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar terus mengekalkan kepercayaan kepada kerajaan pimpinan GRS yang telah membuktikan keupayaan mencipta kejayaan dalam tempoh singkat.
“Kekalkan parti GRS yang telah banyak mencipta kejayaan dalam tempoh singkat pemerintahan. Inilah masa untuk kita bersatu memastikan kestabilan dan kemajuan Sabah terus terpelihara,” tegasnya.