PUTRAJAYA, 12 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi penjelasan terperinci berhubung isu Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah di Parlimen esok, 13 November.
Menurut beliau, Jemaah Menteri telah mengadakan mesyuarat khas semalam, bagi mempertimbangkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung perkara berkenaan.
“Saya merenung semalam dan Jemaah Menteri ada mesyuarat khas, pertimbangkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, runding, mendengar pandangan dan usul dari setiap ahli Jemaah Menteri, paling deras (bersuara), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Maka kita memutuskan secara konsensus, soal 40 peratus itu dan pertimbangan mengenai keputusan kita (kerajaan) juga, iaitu kita tidak rayu, tetapi keputusan penghakiman itu kita rayu, saya akan perjelaskan di Parlimen esok lebih terperinci,” katanya."
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi kenyataan berkata, susulan keputusan dibuat, Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan akan membuat rayuan terhadap kecacatan dalam alasan penghakiman bagi kes berkenaan.
Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Perkara itu mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Penghakiman berkenaan dibuat ketika mahkamah membenarkan permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).