fb fb fb fb fb

Pemindahan pengurusan STPM dan Matrikulasi tidak jejas pembelajaran

Gambar hiasan / BERNAMA

IPOH, 12 Disember - Pelaksanaan pemindahan pengurusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak akan menjejaskan proses pembelajaran pelajar yang terlibat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke13 (RMK13) itu memerlukan penelitian mendalam sebelum ia dapat dilaksanakan.

“Kita tidak boleh melaksanakannya serta-merta, atau hari ini di KPM dan esok di KPT. Ia melibatkan isu penyelenggaraan aset, tenaga pengajar dan pelbagai aspek lain.

"Perbincangan juga telah bermula beberapa bulan lalu ketika kita berusaha memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penyerahan Peralatan ‘Smart Board’ atau Papan Pintar Interaktif kepada Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Negeri Perak, di sini.

Tambahnya, perbincangan antara KPM dan KPT akan diadakan pada minggu hadapan bagi memberi tumpuan kepada penyusunan garis masa pelaksanaan usaha berkenaan.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan papan pintar interaktif kepada 83 sekolah SJKT di seluruh negeri dengan membabitkan peruntukan berjumlah RM984,000.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN