
RAWANG, 25 Februari – Kerja-kerja pemindahan patung berhala di Kuil Sri Uchimalai Muniswaran, Taman Rawang Perdana, berjalan lancar.
- Proses pemindahan empat patung berhala dijalankan oleh pengurusan kuil bersama 10 penganut hingga selesai tanpa insiden.
- Operasi dikawal rapi di bawah pemantauan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan keadaan terkawal.
- Pemilik tanah memulakan pembersihan tapak sejurus pemindahan selesai.
- Polis menggesa hormati undang-undang, selesaikan pertikaian melalui prosedur rasmi dan pantau penyebaran maklumat 3R.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menerusi kenyataan memaklumkan, proses pemindahan kesemua empat patung berhala dari premis itu bermula 9.30 malam (Selasa) hingga pukul 4.12 pagi (Rabu).
Ia dilaksanakan pihak pengurusan kuil dan wakil pengurusan bersama-sama 10 orang penganut.
“Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan keadaan terkawal bawah pemantauan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), ” menurut kenyataan itu.
Pemilik tanah juga telah memulakan kerja pembersihan tapak kuil sejurus urusan pemindahan selesai.
Polis mengingatkan semua pihak agar menghormati undang-undang serta tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menggugat keharmonian kaum dan agama.
Tegas Datuk Shazeli, sebarang pertikaian hendaklah diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik tanah yang sah.
Dalam masa sama, polis memantau ketat penyebaran maklumat di media sosial serta memberi amaran keras terhadap penyebaran kandungan berbaur 3R.