fb fb fb fb fb

Pemimpin UMNO Kedah letak jawatan

ALOR SETAR, 21 November- Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menggalas tanggungjawab atas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu.

Beliau yang tewas di Parlimen Jerlun, turut mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan ekoran prestasi buruk dan teruk parti serta BN.

“Kita telah mencuba sehabis baik dan kita menerima ini adalah satu penolakan mutlak orang-orang Melayu terhadap UMNO ketika ini maka sudah tentulah kita merasakan kita memerlukan satu rombakan ataupun baik pulih dari segi kepimpinan UMNO.

“Jadi saya menggesa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO berfikir secara terbuka dan berjiwa besar untuk melepaskan jawatannya,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga berkata pengundi khususnya orang Melayu telah memberikan satu petanda yang cukup jelas dalam PRU15 bahawa mereka tidak menggemari gaya dan cara pemimpin UMNO mengemudi parti itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz

Menurut beliau, UMNO kini perlu memberi ruang dan peluang kepada muka baharu untuk menerajui parti itu agar tidak menyulitkan situasi dihadapi UMNO.

Pada PRU15, BN tewas semua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Kedah.

Media Baharu