fb fb fb fb fb

Pemimpin dunia meratapi kemangkatan 'Elizabeth the Steadfast'

(Pameran mendiang Ratu Elizabeth dipasang di luar sebuah premis di New York sebagai
penghormatan terakhir penduduk/AFP)

PARIS, 9 September- Para pemimpin dunia hari ini bersatu hati memberi penghormatan terakhir atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, raja paling lama berkhidmat di dunia yang meninggal dunia di kediamannya di Scotland pada usia 96 tahun.

Penghormatan diberikan dari negara yang pernah dikuasai, pernah berperang, dari wilayah kecil kepada kerajaan paling kuat selain negara-negara yang belum wujud ketika baginda menaiki takhta.

Berikut beberapa ucapan kepada Ratu Elizabeth, yang telah memerintah United Kingdom sejak 1952 juga mengetuai 14 negara Komanwel di seluruh dunia.

-'Kesopanan abadi' –

Penghormatan dunia didahului negara Komanwel, negara-negara yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada empayar British.

Asia Selatan yang menyaksikan Britain sebagai kuasa penjajah sehingga sejurus sebelum pemerintahan Elizabeth bermula, dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata beliau "sedih" dengan kematian baginda.

Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa pula menyifatkan bagaimana beliau dan permaisuri mengenang memori tentang Nelson Mandela, manakala Presiden Kenya, William Ruto memuji kepimpinan baginda di negara Komanwel.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memberi penghormatan dengan titipan "kesopanan abadi" serta menyifatkan kematian baginda menandakan "penghujung era”.

Selain itu Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata mendiang Ratu Elizabeth, pernah menjadi ketua negara Kanada, “akan terus diingati dalam hidup kita” -- dan khidmatnya kepada rakyat Kanada akan kekal sebagai peristiwa penting dalam sejarah negara kita selama-lamanya."

Negara Komanwel paling kecil turut menitipkan ucapan penghargaan menyaksikan David Burt, perdana menteri British Bermuda, memuji "kewajipan tanpa beban" dicurahkan baginda.

-'Maruah dan keteguhan tiada tandingan'-

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyifatkan Raja Elizabeth II adalah seorang negarawan yang mempunyai darjat atau maruah dan keteguhan yang tidak boleh ditandingi; memperkukuh pakatan asas antara United Kingdom dan Amerika Syarikat. Baginda membantu menjadikan hubungan kami istimewa," kata Biden.


(Suasan di luar Kedutaan British di Washington DC, pada 8 September 2022,
berikutan kematian Ratu Elizabeth II/AFP)

-'Simbol perdamaian' -

Negara yang mempunyai hubungan kurang mesra juga turut memberi ucapan penghormatan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada Raja Charles III, mendoakan raja baharu itu terus "berani dan tabah" selepas pemergian ibunya. Ucapan disuarakan meskipun Britain bersama Barat sepakat mengenakan sekatan ke atas Moscow susulan pencerobohan ke atas Ukraine.

Sementara itu Jerman, ketika zaman pemerintahan permaisuri yang bertukar daripada musuh ketat Britain kepada sekutu paling kuat, menyanjungnya sebagai "simbol perdamaian" selepas perang dunia I dan II.

"Komitmennya terhadap perdamaian Jerman-British selepas Perang Dunia II tidak akan dilupakan," kata Canselor Jerman Olaf Scholz.

“Baginda memainkan peranan penting dalam mewujudkan keamanan dan kemakmuran dunia," kata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, yang menambah kemangkatan permaisuri itu adalah "kerugian besar" kepada masyarakat antarabangsa.

Berita berkaitan
Ratu Elizabeth ll mangkat
Malaysia rakam ucapan takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II
Perdana Menteri Singapura mengucapkan takziah atas kemangkatan Ratu Elizabeth II

-'Rahmat, maruah dan dedikasi’-

Di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Majlis Keselamatan bertafakur beberapa minit.

Ratu Elizabeth amat "dikagumi atas rahmat, maruah dan dedikasinya di seluruh dunia. Kehadirannya sepanjang dekad meyakinkan dan amat dirasai dengan perubahan besar," kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Sementara itu pemimpin Kesatuan Eropah melahirkan rasa sedih atas kematian baginda selaku ketua negara sepanjang keahlian Britain dalam EU.

"Setelah dipanggil 'Elizabeth the Steadfast', dia tidak pernah gagal menunjukkan kepada kami kepentingan nilai yang berkekalan dalam dunia moden," kata Presiden Majlis EU, Charles Michel.

-Rakan di raja-

Philippe, Raja Belgium yang mempunyai hubungan kekeluargaan rapat dengan golongan bangsawan British, menyifatkan baginda sebagai seorang yang memiliki "personaliti luar biasa."

Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden menyifatkan baginda "rakan baik keluarga saya dan penghubung kepada sejarah keluarga kami."

Manakala Raja Arab Saudi, Raja Salman menyatakan bahawa "Baginda adalah model kepimpinan yang akan diabadikan dalam ... sejarah." -AFP

Media Baharu