fb fb fb fb fb

Pemilik premis pilih kekal SOP imbas suhu badan dan buku rekod untuk pelanggan

SEREMBAN, 11 Januari - Pemilik premis di sekitar negeri berkenaan masih ingin meneruskan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod ‘check in’.

Tinjauan RTM di beberapa premis mendapati pengimbas suhu badan dan buku rekod masih dikekalkan meski tidak lagi diwajibkan untuk menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod di pintu-pintu masuk premis.

Menurut pengusaha pencetak baju, Zamilia Zakaria, dia masih mengamalkan SOP itu untuk memastikan tahap kesihatan pelanggan yang berurusan disamping dapat memantau rekod kemasukan ke premisnya.

"Saya memilih untuk mengekalkan sebab contoh seperti buku rekod 'check in', kadang-kadang pelanggan tidak memiliki telefon bimbit dan saya boleh tahu sekiranya pelanggan tidak sihat sekiranya ada pengimbas suhu badan," katanya kepada RTM.


Bagi pemilik restoran, Nurlaila Alias, pihaknya menyambut baik seruan kerajaan untuk tidak mewajibkan pelaksaanan SOP itu namun memberi pilihan kepada pelanggan untuk mengimbas aplikasi MySejahtera atau menggunakan buku log daftar masuk terutamanya bagi golongan warga emas.

"Sebagai pemilik premis, buku log daftar masuk sebenarnya memudahkan warga emas untuk menulis nama dan nombor telefon mereka sebab ada kekangan dari segi penggunaan aplikasi MySejahtera," katanya.

Fatin Kidan, sebagai seorang pelanggan premis pula berpandangan, pemansuhan SOP memudahkan untuk mereka memasuki premis tanpa perlu mengimbas suhu seperti sebelumnya.

"Sebenarnya memduahkan untuk memasuki mana-mana premis dan menjimatkan masa tak perlu imbas suhu badan sebab boleh semak tahap kesihatan melalui aplikasi MySejahtera.

Baharom Borhan, 70, sebagai warga emas dia lebih memilih menggunakan buku log daftar masuk berbanding menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Pak cik dah 70 tahun, kadang-kadang tak pandai menggunakan telefon bimbit, jadi buku log daftar masuk dan pengimbas suhu badan lebih baik dikekalkan," katanya kepada RTM.

Terdahulu, Menteri Kuartet COVID-19 memutuskan untuk memansuhkan SOP imbasan suhu badan dan buku rekod ‘check in’ di premis bermula hari ini dan hanya mewajibkan pendaftaran masuk melalui aplikasi MySejahtera.

Media Baharu