fb fb fb fb fb

Pemergian Zaidi Johari satu kehilangan besar - Ab Rauf

Jenazah Allahyarham Datuk Zaidi Johari tiba di Masjid Al Azim pada pukul 10.55 pagi untuk disembahyangkan, dipimpin oleh Imam Besar Masjid Al Azim, Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz

BUKIT PALAH, 19 April - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Zaidi Johari sebagai kehilangan besar khususnya buat negeri Melaka.

"Bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana pemergiannya amat tenang walaupun pada malam tadi saya bersama-sama beliau dalam siri lawatan kerja ke panggung bangsawan, saya tidak nampak sebarang isyarat pemergian beliau pada hari ini.

"Bagaimanapun pihak kerajaan negeri dan seluruh ahli majlis merakamkan takziah pada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Zaidi Johari, saya juga melahirkan rasa dukacita dan turut bersama-sama keluarga Insya-Allah semoga Allah SWT tempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang soleh," kata Ab Rauf kepada media, di sini.

Allahyarham merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.15 pagi, ketika dibawa menaiki ambulans dari kediaman rasminya di Bukit Peringgit ke Hospital Melaka.

Jenazah allahyarham tiba di Masjid Al Azim pada pukul 10.55 pagi dan selesai disembahyangkan pukul 11.10 pagi yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Al Azim, Datuk Muhammad Hashim Al-Hafiz.

Turut memberi penghormatan terakhir ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Ali Rustam, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Al-Ihsan Tebong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebong selepas solat Jumaat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan empat orang anak berusia antara 27 hingga 17 tahun.

Allahyarham memulakan kerjaya dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan antara 1998 hingga 2016 sebelum dilantik sebagai Pengarah Tanah dan Galian negeri Melaka pada 2017 dan Pegawai Kewangan Negeri  pada 2020.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi akaun Facebook rasminya turut menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada keluarga allahyarham.

TETITIA YUSOFF