fb fb fb fb fb

Pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura sudah capai 17 peratus

JOHOR BAHRU, 11 Jun - Kemajuan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura kini mencapai 17 peratus dengan jangkaan fasiliti bagi laluannya akan siap menjelang Disember 2024.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut menjangkakan menjelang Disember 2026 kemudahan lain seperti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin juga akan siap sebelum mula beroperasi pada Januari 2027.

Isu berkaitan pengalihan paip 900 milimeter dan 1,600 milimeter milik Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura juga selesai daripada segi persetujuan dasar dan akan dibawa ke peringkat kabinet untuk dibentangkan.

Selain itu usaha mewujudkan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan aliran trafik selepas projek RTS Link siap juga sedang dibincangkan.

Ketika ini hanya 1 laluan melibatkan Jalan Tebrau dicadangkan sebagai jalan masuk ke stesen RTS Link berkenaan.

Antara yang dibincangkan bersama kerajaan Johor ialah Pelan Penyuraian Trafik membabitkan jalan EDL- Jalan Lingkaran Dalam-Jalan Pandan.

(Wee mengadakan lawatan ke tapak projek RTS Link di Bukit Chagar)

"Dalam konteks ini kita sedang siapkan perancangan kita kerana selepas habis projek ini. Ia perlu siap seiring dengan rancangan penyuraian trafik. Sebab itu justifikasi perlu dilakukan dan untuk kebaikan orang Johor," kata Wee di sini.

RTS Link dijangka mampu menampung 10,000 penumpang sejam melibatkan tempoh perjalanan selama 15 minit termasuk pemeriksaan imigresen.

Ia merupakan rangkaian rel sepanjang empat kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar, Stesen Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Dalam pada itu Wee memberitahu perkhidmatan Shuttle Tebrau dari Stesen Johor Bahru Sentral (JB Sentral) ke Stesen Woodland, Singapura yang digantung sejak tahun 2020 akibat penularan kes COVID-19 akan bersambung semula pada 19 Jun ini.

Sebanyak 31 perkhidmatan yang beroperasi setiap hari dari JB Sentral-Woodlands- JB Sentral melibatkan tempoh perjalanan selama 5 minit dengan kadar kekerapan selama 30 minit.

Bagaimanapun kapasiti penumpang bagi setiap perjalanan dihadkan daripada 320 orang sebelum ini kepada 240 disebabkan kerja-kerja penambahbaikan oleh Jabatan Imigresen dan Immigration and Checkpoints Authority of Singapore (ICA).

"Penambahbaikan yang dimaksudkan ialah kad ketibaan digital dan imbas wajah. Jangkaan 7,000 ribu penumpang sehari. Sebelum ini 320 penumpang, tetapi minggu pertama itu dihadkan kepada 240, kerana kerja-kerja tambah baik sedang berjalan," katanya.

Penumpang juga hanya menggunakan pasport sebagai tiket rasmi bagi daftar masuk di Turnstile Stesen JB Sentral dan Stesen Woodlands sebelum menaiki 'tren shuttle' Tebrau.

Harga tiket bagi perjalanan JB Sentral ke Woodlands adalah RM5, manakala S$5, dari Woodlands ke JB Sentral.

Penumpang boleh membeli tiket menggunakan sistem KITS online atau kaunter tiket dan penumpang dikehendaki mendaftar dan memasukkan nompor passport terlebih dahulu sebelum membuat pembelian tiket shuttle Tebrau.

Operasi perkhidmatan shuttle Tebrau sempat berjalan selama enam hari sebelum digantung pada 24 Mac 2020 akibat penularan kes COVID-19.

Media Baharu