fb fb fb fb fb

Pembinaan R&R di LTU perlu diteruskan demi kepentingan rakyat

FOTO FAIL

JERANTUT, 12 Oktober - Pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang melibatkan kos sebanyak RM20 juta akan dibawa ke Kementerian Kewangan dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan.   

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, adalah tidak sepatutnya projek berkenaan dibatalkan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan menjadi keperluan mendesak pada masa ini.

"Ini untuk kemudahan rakyat sebagaimana saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Pahang untuk kemudahan rakyat negerinya, tidak sepatutunya tarik, bayangkan jarak berapa jauh dalam hampir empat jam dari Kuala Lumpur. Tidak ada orang yang boleh tahan perjalanan empat jam tanpa henti," kata Abdul Rahman.

Beliau bercakap dalam sidang pada Program Sosial Sinergi Jom Daftar Aplikasi Sahabat Perkeso Prihatin, di sini.

Semalam Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan pusat melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan kawasan R&R di Lebuh Raya LTU.

Baginda bertitah, keputusan untuk tidak melaksanakan salah satu komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu berkaitan antaranya keperluan asas orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkenaan.

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keperluan R&R di lebuh raya tersebut akan dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

Menurutnya, pada masa ini tapak di kedua-dua belah lebuh raya berkenaan telah disediakan di kawasan Relong di Lipis bagi pembinaan lebuh raya berkenaan.

Katanya pembinaan di kawasan itu perlu dilakukan segera dan merupakan keperluan mendesak kepada pengguna jalan raya selain mengelakkan masalah pembuangan sampah yang berlaku saban tahun khususnya pada waktu cuti perayaan.

TETITIA YUSOFF