fb fb fb fb fb

Pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha capai 22.5 peratus

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

LANGKAWI, 20 Mei- Pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha mencapai 22.5 peratus dan mendahului jadual kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Projek bernilai RM425 juta itu bakal disiapkan pada Disember tahun depan.

Pembinaan bangunan tambahan di hospital itu bertujuan meningkatkan bilangan perkhidmatan kepakaran bagi mengurangkan kebergantungan dan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

"Kita mahu memastikan perkhidmatan berada pada tahap dunia, kerana kita memandang aset ini sebagai satu yang boleh dijadikan tarikan perubatan dan pelancongan kesihatan.

"Selain itu, kita akan memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia dapat diberikan di hospital ini," katanya dalam sidang media sempena lawatan Tuanku Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Salehuddin Sultan Badlishah ke projek bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha di sini.

Majlis itu turut dihadiri Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Pembinaan bangunan baharu menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Bilangan katil tambahan juga dianggarkan kira-kira 330 berbanding 110. Ia bagi menampung populasi penduduk di pulau itu yang berkembang selain kehadiran pelancong yang semakin meningkat.

Kementerian Kesihatan juga akan memastikan fasiliti serba lengkap itu disokong dengan sumber manusia yang mencukupi serta teknologi pendigitalan yang terkini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI