fb fb fb fb fb

Pembimbing jemaah haji disaran perjelas konsep istito’ah

Datuk Dr Naim Mokhtar

SEPANG, 25 Oktober- Para pembimbing jemaah haji disaran memberi pencerahan mendalam tentang konsep istito'ah atau syarat kemampuan menunaikan ibadah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Naim Mokhtar, berkata konsep ini akan dapat diperjelaskan dengan lebih lanjut kepada bakal Jemaah haji memandangkan kursus-kursus haji akan bermula tidak lama lagi.

"Pembimbing jemaah haji perlu memberi pencerahan secara hikmah, insya-Allah ramai lagi pada tahun ini yang tampil ke hadapan mengaku bahawa dia ada kemampuan sendiri, walaupun dalam golongan B40.

"Dia ada simpanan dalam tabung haji dan tidak mahu untuk terima bantuan kewangan haji. Namun Itu tidak bermakna TH akan berhenti memberikan bantuan tahun ini. Cuma kita mahu perkara itu datang daripada kefahaman jemaah itu sendiri tanpa sebarang paksaan," katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali Ke-40 di sini.

Penghayatan istito’ah yang berkaitan dengan kewangan semakin diterima baik oleh umat Islam di Malaysia kerana seramai 400 jemaah haji mengambil keputusan tidak menerima bantuan kewangan haji secara keseluruhan atau secara sebahagian.

TH akan tetap meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar kepada golongan yang memerlukan untuk musim haji tahun depan.

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan sejak Isnin lalu antaranya pelaksanaan Mabit di Mina bagi jemaah haji berikutan isu kesesakan penempatan dan faktor-faktor luar kawalan melibatkan jemaah Malaysia.

Dalam pada itu, TH turut melancarkan aplikasi e-bimbingan Haji bagi memudahkan urusan pembelajaran bakal jemaah haji termasuklah petugas haji serta Pengkursus Ibadah Haji Tanah Air (PEKTA).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI