fb fb fb fb fb

Pembelian pesawat Boeing dan Airbus berdasarkan keperluan operasi – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Keputusan Malaysia untuk membeli pesawat Boeing dan Airbus dibuat berdasarkan keperluan operasi sebenar dan rundingan strategik yang turut melibatkan pelaburan serta pengeluaran dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pembelian pesawat adalah penting berikutan peningkatan permintaan laluan penerbangan yang sebelum ini dibatalkan.

“Tan Sri Yang Dipertua, kita kena beli. Dan kita kena beli banyak sebab laluan yang kita batalkan itu terlalu banyak keperluan dan permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dalam sesi Soal Jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, keputusan pembelian tersebut dibuat oleh Malaysia Airlines Group (MAG) hasil rundingan yang telah berjalan sejak dua tahun lalu, termasuk dengan pihak Boeing dan Airbus, tanpa sebarang campur tangan politik.

“Menteri MITI dah jelaskan semalam, itu keputusan MAG. Mereka ada dua pilihan. Pesawat itu memang perlu dibeli. Ini kerana buat pertama kali sejak tahun 2004, setelah bertahun-tahun mencatat kerugian, MAG berjaya meraih keuntungan kerana pengurusan yang cekap dan telus. Kita tidak campur tangan dari segi politik,” jelasnya.

Tambah beliau, pesanan besar dibuat sejak tahun lalu melibatkan pesawat wide-body Airbus dan Boeing, selain turut menjalankan rundingan dengan Brazil dan China bagi pilihan pesawat lain.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan kerajaan telah meletakkan syarat kepada syarikat pengeluar supaya sebahagian besar komponen dan pemasangan dilakukan di dalam negara bagi memastikan terdapat limpahan ekonomi domestik.

“Syarat kita dengan Boeing adalah agar sebahagian pengeluarannya dilakukan di sini. Kalau tengok sayap Airbus, banyak dibuat di Negeri Sembilan, Kulim, dan juga di Selangor. Begitu juga komponen untuk Boeing,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN