KUALA LUMPUR, 19 Mac- Orang ramai kini boleh berwakaf dengan menggunakan sistem pembayaran wakaf dalam talian baharu menerusi portal MyEG.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Abdul Hakim Amir Osman, berkata saluran pembayaran tersebut sejajar dengan kehendak teknologi semasa.
"Pewakaf boleh membuat bayaran wakaf sehingga RM30,000 dalam satu transaksi di platform MyEG. Selain setiap pewakaf layak menerima potongan cukai pendapatan sehingga 100 peratus iaitu mendapat tolakan 100 peratus daripada pendapatan agregat.
"Saya percaya kelebihan-kelebihan yang ditawar bukan sahaja mampu untuk menarik minat lebih ramai lagi untuk berwakaf, bahkan ianya merupakan strategi yang ampuh dalam memastikan ibadah wakaf ini dapat dilaksanakan untuk jangka panjang secara mudah", katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran sistem pembayaran wakaf PPZ-MAIWP menerusi MyEG, di ibu negara.
Katanya, portal wakaf tersebut merupakan sistem pertama seumpamanya dibangunkan.
Sistem ini secara automatik merekod dan memantau sumbangan, sekali gus mengurangkan risiko penipuan.
Turut hadir, Pengarah MyEG, Datuk Jimmy Wong Abdullah.