fb fb fb fb fb

Pembayaran dam, korban teratur melalui THiJari

Foto Hiasan/ Foto RTM

MAKKAH, 18 Mei - Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan urusan berkaitan pembayaran dam dan korban akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pengarah Operasi Kewangan TH, Anisuati Yahya berkata, pihaknya memberi jaminan proses tersebut mudah dan teratur bagi memberi kesenangan kepada jemaah haji.

Menurutnya pembayaran dam boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJari dan kaunter-kaunter yang disediakan di maktab penginapan jemaah serta kaunter di tanah air.

"Pada masa ini, kalau melalui ibadah korban tanah suci kita telah bekerjasama dengan Islamic Development Bank.

"Jadi, kerjasama ini telah melebihi 10 tahun dan IDB juga mengiktiraf Tabung Haji sebagai salah satu rakan kerja yang baik",katanya demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di sini.

Bayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing atau kibas dan daging sembelihan itu akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Mekah. 

Manakala kadar bayaran korban adalah sebanyak RM936 untuk seekor kambing atau kibas dengan urusan pengagihan dilaksana pihak Islamic Development Bank (IDB).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD