KUALA LUMPUR, 20 Mac- Kerajaan memberi tumpuan kepada tiga aspek utama bagi mempercepat pembangunan sumber pertumbuhan baharu yang berpotensi menjadi pemacu kepada peningkatan pendapatan negara.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menjelaskan bahawa kerajaan komited untuk merombak kembali struktur ekonomi negara supaya ia lebih berdaya saing serta penerokaan bidang baharu yang mampu meningkatkan pendapatan negara.
Ini termasuk mengenal pasti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi lain yang berpotensi menyumbang kepada hasil negara.
“Kementerian Ekonomi akan memastikan dasar yang bersepadu dan bersesuaian diteruskan dalam penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang sedang dimuktamadkan. Kita mahu terus melonjakkan ekonomi negara ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi dan kompleks.
"Itu akan dapat mengurangkan pergantungan kerajaan kepada satu atau dua sumber pendapatan sahaja. RMK-13 juga akan memberi tumpuan kepada sektor baharu bagi meningkatkan keanjalan ekonomi negara.
"Ini sekali gus membolehkan kerajaan mengimbangi keperluan fiskal negara serta mengurangkan beban percukaian kepada rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar di Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Rafizi turut memaklumkan kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada lima industri yang mempunyai potensi pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV).
Jelasnya, lima industri HGHV tersebut ialah industri berasaskan peralihan tenaga , Industri berasaskan teknologi dan digital , industri E& E bernilai tinggi , industri nadir bumi dan industri pertanian dan industri asas tani moden.
"