fb fb fb fb fb

Pembangunan AI, Negeri Sembilan pertimbang beri insentif kepada syarikat tempatan

Exco negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli

SEREMBAN, 9 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan akan mempertimbangkan pemberian insentif kewangan kepada syarikat tempatan yang terlibat dalam pembangunan dan penggunaan teknologi inovasi kepintaran buatan (AI). 

Tujuan pemberian itu adalah bagi menggalakkan inovasi dan penggunaan teknologi berkenaan dalam pelbagai sektor.

Menurut Exco Warisan, Adat Istiadat Melayu, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli, kerajaan negeri juga bersedia untuk mempertimbangkan cadangan untuk memperkenalkan dasar dan inisiatif yang bertujuan membangunkan infrastruktur teknologi yang diperlukan untuk menyokong pembangunan AI dalam pelbagai sektor.

"Sekiranya kedudukan kewangan kukuh dan stabil, kita akan pertimbangkan pemberian itu seperti subsidi, pemotongan cukai atau pemberian geran. Terdapat kemungkinan untuk kita mengadakan kerjasama dengan syarikat teknologi dan institusi pendidikan tinggi (IPT)untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam bidang kecerdasan buatan."

"Ini boleh berlaku sekiranya dasar yang turut menyentuh soal kerjasama ini diperkenalkan. Faedah kolaborasi ini akan memungkinkan penubuhan pusat-pusat penyelidikan, peningkatan latihan kemahiran AI dan kemudahan pertukaran pengetahuan antara sektor awam dan swasta," kata Datuk Mohd Faizal dalam Sidang DUN Negeri Sembilan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adun Lukut, Choo Ken Hwa mengenai pembangunan AI dalam pelbagai sektor bagi menaikan mutu dan kualiti kehidupan rakyat pada Persidangan Pertama Penggal kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan yang ke-15 di Seremban.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM