fb fb fb fb fb

Tunku Ali Redhauddin berkenan hadir sambutan Aidilfitri, santuni 100 penghuni penjara Negeri Sembilan

Foto RTM

SEREMBAN, 9 Mei- Seramai 100 orang penghuni Penjara Negeri Sembilan berpeluang beraya bersama Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz menerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Penghuni Penjara Negeri Sembilan di Dewan Wawasan  Penjara Seremban.

Majlis tersebut melibatkan penghuni daripada tiga Institusi Penjara Negeri Sembilan iaitu Penjara Seremban, Pusat Reintegrasi Mantin serta Institusi Pemulihan Dadah Jelebu.

Menurut Pengarah Jabatan Penjara Negeri Sembilan, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Ahmad Mustaqim Che Bisi, program tersebut yang juga julung kali diadakan merupakan salah satu usaha institusi penjara dalam memperkasakan komuniti koreksional agar dapat memberi sinar harapan baru kepada penghuni apabila mereka pulang ke pangkuan masyarakat selepas dibebaskan.

"Dia memerlukan satu kesedaran daripada masyarakat bahawa masalah penjara ini bukan masalah yang perlu ditangani Jabatan Penjara sahaja. Ini kerana kami hanya berada bersama mereka dalam tempoh tahanan, di luar tempoh itu kami tidak boleh."

"Kami pula tidak boleh mengharapkan banduan ini selamanya berada di kompaun yang terkurung sebab kita mesti memastikan mereka ini kembali kepada masyarakat. Maka, sebab itu perlu juga bantuan daripada komuniti. Kita memerlukan sokongan berterusan daripada masyarakat," kata Ahmad Mustaqim kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Penghuni Penjara Negeri Sembilan di Dewan Wawasan Penjara Seremban, di sini.

Sementara itu, Tunku Ali Redhauddin turut berkenan untuk mencemar duli melakukan lawatan dan menyantuni penghuni Penjara Seremban.

Dalam pada itu, bagi menyerikan lagi majlis turut menampilkan Skuad Hiruk Pikuk Negerifm serta persembahan daripada penghuni di tiga Institusi Penjara Negeri Sembilan

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM