fb fb fb fb fb

Pemandu lori terlibat nahas maut dikejar 40 kilometer sebelum ditahan polis

DUNGUN, 14 Mei- Polis Dungun, berjaya menahan seorang pemandu lori yang cuba melarikan diri selepas terbabit dalam nahas jalan raya sehingga menyebabkan seorang penunggang motorsikal maut malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, pemandu lori berusia 43 tahun itu ditahan di susur keluar Plaza Tol Bukit Besi selepas dikejar sejauh kira-kira 40 kilometer oleh seorang pengguna lebuh raya yang kebetulan melihat kejadian tersebut.

Jelas beliau, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi di kilometer 335.5 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Paka.

Dalam kejadian itu, pemandu lori tersebut didakwa telah berhenti di laluan kiri lebuh raya untuk tidur.

Mangsa, Muhammad Haziq Abdul Halim, 21 tahun yang menunggang motorsikal, tidak menyedari kehadiran lori berkenaan dan merempuh belakang kenderaan berat tersebut.

(Mangsa, Muhammad Haziq Abdul Halim maut selepas mengalami cedera parah di kepala dan anggota badan)

Muhammad Haziq meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Pemandu lori akan direman bagi membantu siasatan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Media Baharu