KUALA LUMPUR, 14 Mei - Ibu bapa, pengendali pusat asuhan serta pra-sekolah disaran untuk meningkatkan kebersihan dan peka dengan status kesihatan anak-anak jagaan bagi mengelakkan penularan jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Zoonosis, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr.Norita Shamsudin berkata meski HFMD boleh menjangkiti individu daripada semua peringkat usia, namun 90 peratus dari kes yang dilapor membabitkan kanak-kanak berusia 6 tahun dan ke bawah.
Katanya, HFMD mudah dijangkiti menerusi sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.
"Untuk penyakit HFMD ini selalunya bermula dengan demam dalam masa satu ke dua hari selepas itu baru muncul ulser ke dalam mulut dan juga ruam merah ataupun lepuh pada tapak tangan celah jari, pada kaki dan juga pada bahagian belakang termasuk di punggung.
"HFMD ini gejala utamanya adalah ulser dalam mulut dan juga ruam dan ada sesetengah pesakit tidak mempunyai demam," katanya kepada RTM.
Sementara itu, Ketua Unit Kawalan Infeksi Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Sharifah Azura Salleh pula turut menasihatkan Ibu bapa, supaya tidak membawa anak-anak bergejala ke tempat awam, dan tidak menghantar mereka ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah bagi mengelak penularan jangkitan.
"Saya tahu memang susah kita tiba-tiba nak ambil cuti kecemasan anak tak sihat tapi kita kena tahu juga ini musim HFMD jadi anak itu mungkin ada HFMD dan kita tidak mahu dia jadi punca.
"Pertama, kita kenal pasti punca maknanya kalau anak tu tak sihat jangan bercampur dengan anak-anak yang lain, kedua kebersihan tangan itu maksudnya kalau anak itu ada jangkitan kita kena asingkan dia macam COVID juga asingkan dari anak-anak yang lain," katanya.
Bilangan kes HFMD di Selangor dilaporkan melepasi paras amaran, dengan 6 ribu 748 kes direkodkan setakat 7 Mei lalu.
Selain itu, di Terengganu, Perak, Kedah, dan Pulau Pinang turut dilaporkan merekodkan peningkatan kes mendadak kebelakangan ini.