fb fb fb fb fb

Pelumba profesional dikhuatiri lemas ketika uji jet ski

Pasukan penyelamat melakukan operasi SAR seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menguji jet ski di Sungai Terengganu dekat Taman Tamadun Islam

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos- Seorang pelumba jet ski profesional dari Terengganu, Abdullah Mubin, 44, hilang dan dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, hari ini.

Mangsa yang juga mekanik kenderaan air dari Kampung Ladang di sini itu dilapor terjatuh ketika menguji kenderaan tersebut pada pukul 8.00 pagi tadi.

Abdullah menguji kenderaan berkenaan sebagai persiapan untuk bertanding di Thailand. Beliau antara pemegang rekod King's Cup Thailand bagi kategori 'expert' (pakar) pada tahun 2012.

Saksi kejadian, Rushdan Abdullah berkata, dia sempat melihat mangsa sebelum tercampak ketika memandu jet ski serta hilang daripada pandangan.

"Dia berulang alik naik jet ski... tiga ke empat kali (dalam keadaan) laju. Sampai satu hujung, lihat dia seperti hendak tukar arah... dia tercampak ke sebelah kanan, jet ski menghala ke kiri.

"Jet ski tu hanyut perlahan-lahan hingga ke jeti (manakala) mangsa tercungap-cungap lebih kurang 10 kali, kemudian senyap, tidak timbul-timbul. Saya nak tolong pun tak boleh... saya telefon bomba," katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.19 pagi sebelum 12 anggota termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan di lokasi kejadian membabitkan pelbagai agensi termasuk Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), rakan mangsa dan penduduk kampung.

SITI AISHAH MD ISA