fb fb fb fb fb

Peluasan prasekolah, tangani keciciran murid - KPM

Foto BERNAMA

BAYAN LEPAS, 4 Februari- Pelaksanaan peluasan prasekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM) setiap tahun sebagai usaha untuk menangani keciciran murid selain memastikan golongan itu mendapat pendidikan percuma.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata langkah itu dilancarkan supaya rekod jumlah pendaftaran mencapai sehingga paras 90% di seluruh negara.

Jelas beliau, ia juga penting dalam mengesan isu berkaitan perkembangan kanak-kanak seperti masalah nutrisi serta keperluan khas.

"Peluasan prasekolah KPM berlangsung setiap tahun susulan permintaannya terlalu tinggi dan kita mahu pastikan bahawa pendidikan percuma di peringkat prasekolah."

"Selain itu, isu-isu berkaitan dengan malnutrisi, intervensi murid keperluan khas juga kita dapat buat daripada peringkat awal. Perkara ini berkait rapat dengan naratif keciciran murid, sebab pendaftaran di peringkat prasekolah ini. Kita perlu buat lonjakan lagi untuk memastikan mereka masuk ke sekolah pada peringkat awal," kata Fadhlina kepada pemberita selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Hotel Raia, di sini.

Setakat ini, terdapat 9,909 buah kelas prasekolah di seluruh negara dan mmbabitkan peluasan sebanyak 129 kelas tahun ini berbanding 119 pada tahun 2023.

Jelasnya, KPM turut menyediakan inisiatif bantuan makanan prasekolah untuk semua murid bagi membantu mengatasi isu malnutrisi serta kemiskinan multidimensi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM