fb fb fb fb fb

Peluang kerjaya kedua veteran ATM

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Beberapa program rentas kementerian dan agensi kerajaan telah dan sedang dilaksanakan bagi menyediakan peluang kerjaya kedua kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengambilan renjer komuniti bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), penyertaan dalam pasukan 'Immune Belt Enforcement Team (IBET)' di Sarawak, serta penempatan pekerjaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"Sehingga kini, seramai 12,724 pendaftaran veteran ATM direkodkan dalam platform 'MyFutureJobs' dan daripada jumlah tersebut seramai 5,165 veteran ATM telah mendapatkan pekerjaan.

"Selain itu, program veteran 'MyWira' yang dimulakan bersama TalentCorp pada Januari 2024 juga telah berjaya memetakan hampir 4,000 data veteran bagi merancang hala tuju kerjaya kedua.

"Usaha sama turut diluaskan kepada syarikat seperti 'Weststar Aviation Services dan Global Turbine Asia (GTA)' bagi mewujudkan peluang pekerjaan bersesuaian," jelasnya di Dewan Rakyat.

Dalam bidang keusahawanan pula katanya, kementerian bekerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Agrobank untuk menawarkan latihan serta pembiayaan perniagaan.

"Sebuah projek rintis ladang kontrak pertanian nanas bernilai RM11.2 juta kini berjalan di tiga negeri, ia dijangka memberi manfaat kepada 40 veteran dengan anggaran pendapatan bulanan antara RM4,000 hingga RM7,000," katanya.

Turut dilaksanakan adalah kerjasama, bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), iaitu melatih kontraktor binaan dalam sistem binaan berindustri (IBS) serta peserta dalam pembuatan perabot melalui Pusat Sumber Teknologi Perabot MARA (FITEC).

Sehingga kini, sebanyak 178 kontraktor dan 37 usahawan veteran telah menerima manfaat daripada program tersebut.

Kementerian juga dalam peringkat rundingan dengan MARA untuk melibatkan veteran ATM sebagai warden asrama serta bersama Kementerian Pendidikan bagi peranan keselamatan di sekolah dan pejabat pendidikan seluruh negara.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI