KUALA LUMPUR, 2 Julai- Tindakan mendoakan keburukan dan kematian seseorang adalah perkara yang ditegah dalam ajaran Islam.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, politik kepartian tidak mewajarkan terputusnya persaudaraan Islam yang diwajibkan oleh Allah untuk dipelihara.
"Ia pernah berlaku kepada dua sahabat Nabi (saw) iaitu Sa'ad bin Abi Waqqas dan Sa'id bin Zayd yang difitnah. Kedua-dua mereka adalah daripada kalangan 10 Sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah.
"Sa'ad bin Abi Waqqas difitnah tidak berlaku adil sebagai gabenor Kufah. Sa'id bin Zayd pula dituduh dan difitnah oleh seorang perempuan kononnya Sa'id mengambil dan merampas tanahnya," kata kenyataan itu di Facebook.
Tambahnya, Islam merupakan agama indah dan sentiasa mencerminkan kepentingan menjaga akhlak.
Umat Islam digalak untuk saling mendoakan antara satu sama lain meski berbeza pandangan dan bermusuhan.
"Apabila Nabi dan para Sahabat berhadapan dengan kegetiran kekalahan perang Uhud hatta Nabi (saw) sendiri cedera dan luka, para Sahabat lalu meminta Nabi (saw) mendoakan kehancuran musuh di kalangan kafir musyrik. Tapi sebaliknya Nabi (saw) berdoa. "Ya Allah berilah hidayah kepada kaum Daus dan kaum Thaqif...Ya Allah berilah hidayah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui". (Hadis riwayat Bukhari, Muskim dan Tirmizi)," jelas kenyataan itu lagi.
Khairuddin turut menggesa agar mereka yang berbuat demikian segera bertaubat dan meminta maaf, demi menjaga keharmonian dan imej Islam.
Dalam pada itu, pelayar Facebook turut meninggalkan komen positif agar pemimpin negara sentiasa mengamalkan politik matang.
(Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali)