MEKAH, 2 Julai- Jumlah kes kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci bertambah kepada empat orang, selepas dua lagi kematian dilapor pada 30 Jun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, kedua-dua Allahyarham antara jemaah haji yang yang koma di Hospital Arab Saudi dan tidak dibawa ke Arafah untuk berwuquf.
"Kematian ketiga ini merupakan seorang jemaah lelaki berumur 72 tahun dan punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.
Kematian keempat pula membabitkan lelaki berusia 60 tahun dan punca kematian adalah disebabkan angin ahmar dan kegagalan jantung," kata Na'im kepada pemberita di Tanah Suci.
Sebelum ini, seorang wanita berusia 57 tahun dilapor meninggal dunia pada 4 Jun akibat kegagalan jantung manakala pada 19 Jun, seorang lagi jemaah wanita berumur 75 tahun meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.
Keempat-empat jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee, Mekah.
Dalam pada itu, seramai 110 jemaah haji masih mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan TH di Mekah dan Hospital Arab Saudi.
(Foto Fail)