JOHOR BAHRU, 2 Julai- Kerajaan Johor menggesa kerajaan Sweden mengambil langkah segera, menjalankan siasatan menyeluruh dan tidak berbelah bagi, terhadap insiden kedua membakar Al-Quran di Stockholm, tiga hari lalu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata hukuman setimpal wajar dikenakan ke atas pihak terlibat bagi memastikan provokasi agama tidak berulang, selain menegakkan undang-undang.
Mohd Fared juga menggesa Sweden meminda undang-undang sedia ada, untuk menyekat dan menghalang provokasi agama bagi mewujudkan nilai toleransi dan hormat kepada agama di negara Nordic itu.
Kerajaan Johor yakin Sweden memandang serius terhadap insiden itu, selaras dengan nilai kepelbagaian, inklusif dan diplomasi yang diamalkan negara itu.
Pihaknya juga bersedia, berkolaborasi dengan kerajaan Sweden bagi menilai dan memperkukuh rangka kerja undang-undang negara itu untuk melindungi kebebasan beragama dan mengelakkan sebarang insiden provokasi.
Mohd Fared yang kini sedang menjalankan ibadah haji di Mekah, mengutuk sekeras-kerasnya insiden membakar Al Quran di Stockholm, pada sambutan Aidiladha tempoh hari.
(Salwan Momika, 37 tahun mencetuskan ketegangan membabitkan tindakan biadap
terhadap umat Islam di Stockholm, Sweden/AFP)