GUA MUSANG, 16 Ogos- Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelarasan gaji penjawat awam hari ini disifatkan sebagai munasabah selepas 12 tahun tiada kenaikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu tepat pada masanya memandangkan bebanan kos sara hidup ditanggung penjawat awam ketika ini.
"Ini adalah munasabah kerana kos sara hidup..kita tahu mereka (penjawat awam) sangat terbeban. Maka dengan langkah yang diumumkan oleh PM (Perdana Menteri) ia (pelarasan gaji) sedikit sebanyak melegakan mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pos Pulat di sini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata dengan kenaikan gaji ini, peniaga diingatkan agar tidak menaikkan harga barang.
"Kita mengharapkan kadar inflasi yang berada pada tahap 3.5 dapat dikekang oleh agensi-agensi penguatkuasaan," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin lebih 2,000 pengundi orang asli di kawasan Nenggiri akan memilih Calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abd Ghani pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Nenggiri, esok.
Menurut beliau, ia hasil turun padang beliau sendiri sebanyak enam kali dalam tempoh pilihan raya kali ini untuk bertemu dengan kaum minoriti itu.
Ahmad Zahid berharap masyarakat orang asli di lima PDM terus istiqamah dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran dibuat pihak pembangkang.
"Saya mempunyai keyakinan bahawa biarpun pihak lawan ugut dan menawarkan pelbagai tawaran tetapi saya yakin dan istiqamah pengundi-pengundi dalam kalangan orang asli adalah sangat tinggi. Saya berdoa pada Allah SWT, mereka (pengundi) keluar mengundi Awie (Mohd Azmawi Fikri) dan Awie adalah calon pilihan mereka..saya penuh keyakinan tetapi saya terus berdoa dan berusaha," katanya.
Program turun padang itu merupakan pecutan akhir kempen PRK DUN Nenggiri dengan mengunjungi kesemua lima pos orang asli di DUN berkenaan.
Ini termasuk Pos Gob, Pos Tohoi, Pos Simpor dan Pos Pasik.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyeru supaya kesemua 20,259 pengundi di DUN Nenggiri supaya keluar mengundi esok.
"Keluarlah beramai-ramai.. melihatkan peratusan yang keluar ini lebih tinggi jumlahnya dan saya yakin semua pihak akan menyediakan logistik yang lengkap tetapi saya ingin memberikan jaminan bahawa semua logistik jentera BN adalah sangat-sangat menyantuni pengundi-pengundi yang bakal memberikan undi kepada Awie," katanya.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili BN dan Mohd Rizwadi Ismail mewakili PAS.