PUTRAJAYA, 5 Disember- Soal pelarasan gaji golongan profesion teknikal dalam perkhidmatan awam akan diberi keutamaan dalam kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah beliau, kehadirannya untuk merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2023 (HPTN2023) antara lain bagi mengiktiraf peranan golongan tersebut yang sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang.
"Sesuai dengan keadaan dan pertumbuhan ekonomi negara sekarang, kedudukan golongan ini dengan sendirinya terangkat dan sangat kritikal.
"(Selain itu) sesuai dengan pengiktirafan itu saya telah beri komitmen iaitu dalam pelarasan gaji peranan golongan profesion teknikal itu harus diberikan tempat yang sewajarnya," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Profesion Teknikal Negara 2023 di sini.
Dalam pada itu, Anwar turut meminta badan profesional dalam profesion itu supaya mengemukakan input munasabah dalam soal pelarasan gaji menerusi SSPA.
HPTN telah diluluskan Jemaah Menteri pada Oktober 2018 untuk diadakan secara tahunan pada Sabtu pertama Disember sebagai penghargaan dan pengiktirafan jasa yang disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara.