KUALA LUMPUR , 20 Jun - Pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu disifatkan sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan komitmen, bukan sekadar satu penghormatan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, jawatan itu bukan keistimewaan, tetapi tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan serius.
"Ketika menyampaikan pesan ini, saya turut mengingatkan diri sendiri dan sahabat saya, Datuk Fahmi, bahawa jawatan menteri bukanlah satu anugerah, tetapi satu amanah. Ia bukan kebanggaan, sebaliknya satu beban tanggungjawab yang besar. Seluruh anak buah di bawah kepimpinan kita adalah tanggungjawab kita bersama.
Jika prinsip ini benar-benar tersemat di hati, insya-Allah sebahagian besar daripada tugas kita akan dapat disempurnakan dengan baik," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap perancangan dan tindakan strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berasaskan data dan bukti, selaras dengan keperluan semasa bagi memperkukuh keselamatan negara.
Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang tamat kontrak pada 22 Jun.
Majlis Serah Terima Tugas dan Paluan Berundur Ketua Polis Negara di PULAPOL, Kuala Lumpur
Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan tertinggi PDRM itu turut disaksikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman, dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.