KUALA LUMPUR, 18 Julai – Pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh disifatkan sebagai langkah penting dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan dan kebebasan institusi kehakiman negara.
Pakar Perlembagaan Negara, Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, pelantikan tersebut telah menamatkan polemik yang berlegar di media sosial dan memberi mesej jelas bahawa ia dilakukan berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang bukan dipengaruhi sebarang unsur politik.
“Pelantikan ini mencerminkan bagaimana keluhuran perlembagaan telah diangkat dan dihormati. Ia bukan sahaja memenuhi keperluan undang-undang, bahkan memperkukuh keyakinan masyarakat, baik di dalam mahupun luar negara, terhadap kewibawaan sistem kehakiman kita,” ujar beliau.
Menurut Dr Shamrahayu, proses pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja membuktikan peranan signifikan institusi Raja dalam menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan memastikan proses pelantikan dijalankan secara kolektif, teliti dan berintegriti.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Ketua Hakim Negara memegang peranan penting dalam memastikan kebebasan dan integriti Badan Kehakiman, termasuk memimpin Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes utama seperti tafsiran perlembagaan serta menguruskan keseluruhan pentadbiran sistem kehakiman negara.
“Perlembagaan hanya menetapkan dua syarat asas, iaitu calon mestilah warganegara dan mempunyai pengalaman tidak kurang daripada 10 tahun dalam bidang kehakiman atau perundangan. Namun dalam amalan, aspek kewibawaan, kebebasan daripada pengaruh, dan pengalaman luas turut diambil kira,” katanya lagi.
Tambahnya, proses pelantikan mengambil masa dan dijalankan melalui perbincangan Majlis Raja-Raja secara konsensus menunjukkan kehalusan sistem Raja Berperlembagaan yang menghormati keperluan profesionalisme dan kepercayaan rakyat.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan badan kehakiman kekal bebas khususnya daripada sebarang bentuk campur tangan eksekutif.
“Rakyat hanya akan percaya kepada sistem kehakiman jika institusinya benar-benar bebas, para hakimnya berintegriti dan semua keputusan dibuat bersandarkan undang-undang, bukan tekanan politik,” jelas beliau.
Dr Shamrahayu turut menyeru agar jaminan seperti imbuhan yang setara (remuneration), keselamatan jawatan (security of tenure) dan proses pelantikan yang telus terus diperkukuh agar kebebasan badan kehakiman sentiasa terpelihara.