fb fb fb fb fb

Pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu sepatutnya tidak menjadi isu

KUANTAN, 21 Mei - Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu, sepatutnya tidak menjadi isu.

Malah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perlantikan itu telah dipersetujui Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Menurutnya, ketua perwakilan Malaysia ke luar negara boleh dipilih melalui dua kategori iaitu mereka dalam kalangan pegawai-pegawai diplomatik yang sedia berkhidmat dalam kerajaan, selain mereka yang bukan daripada pegawai diplomatik seperti ahli politik, bekas ahli politik, bekas menteri dan bekas pegawai tentera.

"Kerajaan yang ada pada hari ini memutuskan bahawa selain pegawai yang dalam perkhidmatan diplomatik, boleh juga dilantik daripada luar, oleh yang demikian, itu yang menyebabkan sekarang ini Yang Berhormat Pasir Salak dilantik sebagai Duta (Besar) Malaysia ke Indonesia," kata beliau ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Dan Perikatan Nasional Indera Mahkota, di sini.


(Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman)

Tambahnya, terdapat beberapa negara tidak menerima duta dari kalangan ahli parlimen yang masih berkhidmat.

Bagaimanapun Indonesia antara negara yang sedia menerima ahli parlimen yang sedang berkhidmat untuk dilantik sebagai duta.

Sementara itu Saifuddin memaklumkan sebanyak 25 senarai calon ketua perwakilan Malaysia kini masih dalam proses untuk dilantik.

Manakala, senarai nama bakal duta Malaysia yang telah dipersetujui oleh negara luar juga telah diterima, namun kini sedang menunggu tarikh pentauliahan lantikan daripada Istana Negara.

Dua minggu lalu katanya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga menerima 19 nama pencalonan daripada duta asing yang akan berkhidmat sebagai duta mereka di negara ini.

Media Baharu