
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Pelan insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) dilihat sebagai satu langkah tepat dalam usaha kerajaan mengekang peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta.
- MHIT dilihat langkah tepat kerajaan untuk kawal kenaikan kos penjagaan kesihatan swasta.
- Premium mesti rendah, stabil dan mampu dibayar serta tidak mengecualikan pesakit penyakit kronik.
- Pakej manfaat komprehensif termasuk penyakit utama diperlukan untuk meningkatkan penyertaan dan kelestarian.
Menurut Presiden Persatuan Ekonomi Kesihatan Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid, inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan menangani kos rawatan kesihatan swasta serta menyediakan perlindungan yang lebih mampan dan inklusif kepada rakyat.
Tegasnya, kepentingan memastikan Pelan MHIT tidak mengecualikan golongan yang menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan kanser, yang sering berdepan kesukaran mendapatkan perlindungan insurans kesihatan swasta.
“Kejayaan MHIT akan dapat dicapai sekiranya langkah berikut dilaksana dengan berkesan. Pertama sekali premium yang dikenakan mestilah rendah, tidak meningkat secara mendadak dan mampu dibayar oleh kebanyakan rakyat, di samping tidak mengecualikan individu yang mempunyai penyakit kronik,” katanya menerusi satu siaran video kepada RTM.
Menurutnya, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berisiko tinggi, berpeluang menikmati perlindungan kesihatan yang ditawarkan secara adil.
Selain itu, pakej manfaat yang komprehensif dan merangkumi penyakit utama juga perlu disediakan bagi meningkatkan penyertaan rakyat serta memastikan kelestarian sistem untuk jangka panjang.
Penerbitan kertas putih MHIT merupakan antara empat inisiatif yang dipersetujui Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) bagi menangani peningkatan kos rawatan sektor swasta.
Ketetapan dimuktamad dalam mesyuarat dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.