(Mohamad Sabu merasmikan Program SMART SBB Mini Sekinchan MADA BERNAS di Kangar)
KANGAR, 9 Mei- Trend suhu panas menjangkau sehingga lebih 40 darjah selsius di Thailand, China dan Asia Selatan yang melibatkan negara-negara pembekal utama produk pertanian negara mampu menjejaskan bekalan rantaian makanan negara.
Bagaimanapun, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah merangka pendekatan yang bakal diambil, jika fenomena El Nino melanda di peringkat global sehingga September, seperti yang diramal beberapa agensi meteorologi negara asia.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk membantu dalam aspek membekal rantaian produk pertanian jika terdapat negara yang terjejas.
"Kerajaan ada pelan kontingensi bagi menghadapi situasi ini. Bahang panas sekarang ini mungkin menjejaskan sedikit pengeluaran di Thailand.
"Kita di peringkat antarabangsa sudah berbincang secara serius hal keterjaminan makanan, kalau ada negara kurang (bekalan makanan), negara lain akan bantu, begitulah seterusnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program SMART SBB Mini Sekinchan MADA BERNAS dan melawat tapak SMART SBB di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Tani KPKM Datuk Azman Mohmood, Pengurus Besar MADA Kamaruddin Dahuli dan Exco Pertanian Perlis Razali Saad.
(Mohamad Sabu)