fb fb fb fb fb

Pelan damai Gaza mesti buka jalan keamanan sebenar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dalam Persidangan Kuala Lumpur mengenai Tertib Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025 / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Pelan damai terbaharu di Gaza tidak boleh dianggap sekadar “jeda antara peperangan”.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia mesti membuka jalan ke arah keamanan yang sebenar dan berkekalan.

Jelas beliau, Malaysia bersama Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil menyokong perjanjian damai yang dicapai di Sharm El Sheikh, namun dengan syarat jelas.

“Tiada pelan damai menyeluruh. Tiada jaminan hak pulang rakyat Palestin serta tiada komitmen jelas untuk penubuhan negara Palestin merdeka.

Gencatan senjata mesti menjadi pintu kepada usaha membina semula Gaza, mengembalikan maruah rakyat Palestin serta mengiktiraf hak mereka untuk hidup bebas di tanah air sendiri,” katanya.

Beliau berucap dalam Persidangan Kuala Lumpur mengenai Tertib Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025, di sini.

Tegas Datuk Seri Anwar, kekejaman Zionis di Gaza bukan hanya isu serantau, tetapi krisis keadilan global yang menuntut tindakan berani semua pihak.

"Pemimpin dunia mesti ubah kemarahan moral menjadi dasar yang tegas, dan rasa kemanusiaan menjadi tindakan berterusan,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyelar kepimpinan Benjamin Netanyahu yang tidak pernah menunjukkan kesungguhan mematuhi sebarang komitmen damai.

Malaysia setakat ini telah menyalurkan RM100 juta bantuan kemanusiaan, selain bekerjasama dengan Jepun serta beberapa negara Asia Timur dan Asia Barat untuk menggerakkan lebih banyak sokongan kepada rakyat Palestin.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN