fb fb fb fb fb

Pelan Advokasi Mengurangkan Gula dapat cegah diabetes

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 23 November-Pelan Advokasi Mengurangkan Gula akan dibentang dalam masa terdekat sebagai usaha untuk membendung peningkatan trend penyakit diabetes.

Jelas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa, ia juga bagi mengurangkan beban kewangan negara dalam menanggung kos perbelanjaan pengurusan penyakit kencing manis.

Tambah Zaliha, pelan itu akan dimulakan di peringkat prasekolah.

"KKM akan lancar pelan advokasi gula sebagai usaha menangani diabetes, meliputi semua peringkat umur.

"Ia akan bermula di peringkat kanak-kanak prasekolah, universiti, tempat kerja, warga emas, badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen," kata Zaliha ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen di Dewan Rakyat di sini.

Tambah Zaliha, sesi libat urus bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya kini di fasa akhir bagi melaksanakan penyediaan aneka minuman tanpa gula khususnya di restoran 24 jam.

Pada 2017, sejumlah RM4.38 bilion atau 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dibelanja bagi mengurus penyakit diabetes.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM