fb fb fb fb fb

Pelaku kes rogol, jenayah seksual disiasat tanpa kira umur

Foto RTM

KUALA LUMPUR 13 OKTOBER - Setiap pelaku kes rogol atau jenayah seksual akan disiasat bawah Kanun Keseksaan tanpa mengira had umur termasuk pelajar sekolah.

Penegasan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau turut tegaskan yang umur pelaku bawah umur bukan alasan untuk melepaskan seseorang daripada tanggungjawab undang-undang terhadap jenayah dilakukan.

“Kalau dia bawah 18, sistem pendakwaannya mungkin berbeza, tapi dia masih akan didakwa bawah Kanun Keseksaan. Bukan sebab bawah umur, dia boleh bebas. Siasatan kes tetap akan dilakukan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebarang prosedur yang melibatkan pihak sekolah tidak menghalang proses perundangan dan siasatan PDRM yang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Biarlah polis siasat supaya tindakan sewajarnya akan dikenakan,” ujarnya.

Beliau berkata meskipun Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai proses tersendiri dalam menangani isu terbabit, kes jenayah tetap tertakluk bawah bidang kuasa undang-undang jenayah.

Datuk Seri Azalina berkata demikian kepada pemberita pada sidang kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa Masa Hadapan (IFUTURE) 2025 di sini ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang memaklumkan semua empat suspek kes rogol di Melaka dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual awal November depan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN