(FOTO IPD KUALA MUDA)
SUNGAI PETANI, 10 April- Seorang pelajar tingkatan empat maut, manakala dua pelajar tingkatan tiga cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung, Bukit Belah, Tikam Batu,Sungai Petani pada Sabtu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya dari Kampung Masjid, Tikam Batu, Muhammad Khal Iskandar Dimaz 16 tahun meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.
Sementara dua lagi pelajar berusia 15 tahun, masing-masing cedera kaki kanan dan bahagian muka serta kaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan menerusi kenyataan berkata nahas membabitkan tiga motosikal, pada pukul 11.15 malam.
Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) namun Muhammad Khal Iskandar disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
(FOTO IPD KUALA MUDA)