JOHOR BAHRU, 29 Oktober - Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Alam, Elvina Callysta Ammara Md Ishak, 10 tahun, muncul juara kategori Tarian Solo Kanak-kanak pada Pertandingan Tarian Super Grand Prix Spain di Lloret De Mar, Sepanyol.
Elvina menewaskan lebih 300 pesembahan dari 13 negara Eropah, Asia dan Amerika melalui persembahan tarian Madurai Veeran Thane, yang menonjolkan unsur kepelbagaian kaum, keberanian irama dan semangat perpaduan.
Menurut guru pengiring, Sapura Bakri, persembahan Elvina menggabungkan langkah tradisional Kolattam dengan sentuhan kreatif Malaysia, menjadikannya unik di mata juri antarabangsa.
Elvina merupakan sebahagian daripada kontinjen Malaysia bawah Kumpulan Budaya Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM) yang mewakili negara di pertandingan berprestij itu.