SEREMBAN, 29 Oktober- Trend penyakit berjangkit di Negeri Sembilan mencatatkan penurunan bagi minggu epidemiologi ke-43, tahun ini.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, penularan influenza di negeri itu terus menunjukkan perkembangan positif apabila hanya satu kluster direkodkan minggu ini jatuh mendadak berbanding 14 kluster pada minggu sebelumnya.
Selain itu, COVID-19 dan Denggi juga menunjukkan penurunan kes.
"Begitu juga dengan kes COVID-19, terdapat penurunan yang ketara minggu lalu, iaitu daripada 170 kes kepada 68 kes sahaja. Kes denggi juga menunjukkan penurunan, daripada 39 kes kepada 33 kes.
Oleh itu, kita dapat lihat adanya pencapaian yang baik pada minggu lepas, dan saya berharap agar masyarakat akan terus melaksanakan aktiviti mereka secara teratur dan berhati-hati," kata Datuk Seri Aminuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pasca Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri, di sini.
Selain itu, golongan yang berisiko seperti kanak-kanak, ibu hamil, warga emas dan pesakit kronik disarankan mendapatkan rawatan segera.