fb fb fb fb fb

Pelajar cemerlang SPM terima hadiah RM10,000

Foto RTM

SIK, 11 Ogos - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 8 di Sik, di sini bukan sahaja memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Malah Aimi Idrina Batrisya Mohd Zaharul Effendi, 18 tahun, turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Penasihat Kelab Akademik Anak Malaysia, Datuk Muhammad Khizri Abu Kassim.
 
Ia bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2024 Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 8, Sik yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.
 
Aimi Idrina kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Kursus Asas Sains dan Teknologi di Universiti Korea di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bawah program Young Talent Development Programme (YTP) MARA.
 
Menurut Muhammad Khizri, hadiah tersebut diberikan kepada Aimi Idrina sebagai menunaikan janjinya pada tahun 2022 untuk memberikan hadiah wang tunai kepada setiap pelajar sekolah berkenaan yang berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan SPM 2023.
 
"Selepas keputusan peperiksaan SPM 2023 diumumkan, Aimi Idrina Batrisya muncul satu-satunya pelajar sekolah tersebut yang berjaya memperoleh keputusan penuh A," kata Muhammad Khizri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik kepada pemberita, di sini.
 
Katanya, hadiah tersebut sebagai motivasi kepada para pelajar supaya berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
 
Wang tersebut juga boleh digunakan untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kelak.
 

TETITIA YUSOFF