
KLANG, 16 Mac – Pelabuhan Klang mencatatkan rekod baharu kendalian kontena sebanyak 15.14 juta TEUs pada 2025, meningkat 3.4 peratus berbanding 14.64 juta TEUs yang direkodkan pada 2024.
- Pelabuhan Klang catat jumlah kendalian kontena tertinggi sejak operasi dimulakan pada 1973.
- Kendalian transhipment meningkat 6.2 peratus, menjadi pemacu utama pertumbuhan kontena.
- Dijangka mengekalkan kedudukan sebagai pelabuhan kontena ke-10 terbesar dunia.
- Sasaran untuk 2026 ialah peningkatan kendalian kontena kepada 15.37 juta TEUs dengan sokongan projek infrastruktur dan dasar mesra perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata pencapaian itu sekali lagi menandakan jumlah kendalian kontena tertinggi sejak pelabuhan tersebut memulakan operasi pada 1973.
“Sehingga Disember 2025, Pelabuhan Klang telah mencatat jumlah pengendalian kontena sebanyak 15.14 juta TEUs, menandakan satu lagi peningkatan berbanding tahun 2024 iaitu sebanyak 14.64 juta TEUs dengan peratusan peningkatan sebanyak 3.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Kendalian transhipment (pemindahan kargo) terus memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada pertumbuhan tersebut apabila meningkat 6.2 peratus daripada 7.92 juta TEUs kepada 8.41 juta TEUs.
Dengan pencapaian tersebut, Pelabuhan Klang sekali lagi mencatat sejarah dengan jumlah kendalian kontena tertinggi dan dijangka mengekalkan kedudukan sebagai pelabuhan kontena ke-10 terbesar dunia.
Mengulas prestasi tahun ini, beliau berkata pelabuhan itu menyasarkan peningkatan kendalian kontena kepada 15.37 juta TEUs pada 2026, iaitu pertumbuhan kira-kira 1.5 peratus.
“Sasaran ini dilihat realistik melalui sokongan pertumbuhan positif ekonomi domestik, pembangunan projek-projek infrastruktur, pertumbuhan kargo melalui sektor pembuatan, logistik dan dasar-dasar kerajaan yang lebih mesra kepada perdagangan terutama sekali dalam sektor logistik,” katanya lagi.
Lembaga Pelabuhan Klang sebagai pihak berkuasa pelabuhan terus memainkan peranan penting dalam memastikan pelabuhan tersebut berkembang sebagai pusat muatan negara dan hab transhipment utama di rantau ini.