fb fb fb fb fb

Pekerja kilang tak mengaku guna dokumen palsu

(FOTO RTM)

TEMERLOH, 8 Februari-Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh,Pahang hari ini atas dua pertuduhan menyamar dan menggunakan dokumen palsu bagi pembelian sebuah motosikal pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Herman Yusof, 30, memahami dan memohon untuk dibicara selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majisterst Tan Chiew King.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan penipuan dengan menggunakan identiti Faisal Hanif Rusli untuk membuat pembelian sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR pada 23 Ogos tahun lalu pada pukul 1.20 petang, di Temerloh.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu kad pengenalan atas nama Faisal Hanif Rusli.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes sama, seorang lagi pekerja kilang, Hermawati Arif, 29, didakwa bersuhabat membantu Herman untuk mendapat dan memiliki kad pengenalan palsu.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan boleh di hukum di bawah seksyen yang sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.

Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin

Majistret menetapkan 22 Mac 2023 sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.


(Dua tertuduh dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas mengaku tak bersalah
/FOTO RTM)

Media Baharu