Pekebun kecil disaran perluas tanaman Harum Manis, tampung permintaan

Foto hiasan / BERNAMA

PENDANG, 29 Mac – Pekebun kecil di Kedah disaran memperluaskan tanaman mangga Harum Manis berikutan pemintaan yang tinggi dengan harga pasaran yang stabil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri merancang menanam sekurang-kurangnya 100,000 pokok setahun dan mencapai 500,000 pokok dalam tempoh lima tahun.
  • Inisiatif mampu menampung permintaan dalam negara dan pasaran luar seperti Singapura serta Brunei.
  • Pekebun kecil digalakkan berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri untuk mendapatkan khidmat nasihat memulakan tanaman.

Pengusaha tanaman Harum Manis, Datuk Yusuf Ismail berkata menerusi perancangan kerajaan negeri, sekurang-kurangnya 100,000 pokok ditanam dalam tempoh setahun dan mampu mencapai 500,000 pokok dalam tempoh lima tahun.

Inisiatif itu sekaligus mampu menampung permintaan bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga luar negara seperti Singapura dan Brunei.

“Sekarang yang ada di negeri Kedah ni 150,000 sahaja dan memang tak mampu tampung pasaranlah, macam mana yang kita faham Harum Manis sekarang ni mencapai harga RM40 ke atas ada yang jual sekilo sampai RM50 disebabkan permintaan yang terlampau tinggi,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pendang, Kedah.

Pekebun kecil boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri untuk mendapatkan khidmat nasihat, sekiranya berhasrat untuk memulakan tanaman tersebut.

Setakat ini, terdapat lebih 500 pengusaha tanaman Harum Manis di Kedah.